Lelaki Potong Kaki Sendiri Guna Pisau Buah, Besi
DEK kerana desakan hidup, manusia sanggup melakukan apa sahaja. Di China misalnya, kita sudah biasa mendengar banyak kisah pelik dan sadis yang dilakukan oleh rakyat negara padat ini demi kelangsungan hidup.
Salah satunya, dilakukan seorang lelaki bernama Zheng Yanliang,47, yang tinggal di perkampungan Dongzang, Xingyuan, Baoding.
Segala-galanya bermula pada 28 Januari 2012 apabila Yanliang mengalami sakit perut yang kemudiannya menjalar ke kaki. Rupa-rupanya serangan sakit secara tiba-tiba ini bakal mengubah nasib Yanliang yang sebelumnya mempunyai tubuh badan tegap, sihat dan kuat untuk menyara keluarga.
Apabila sakit yang dialami tidak mampu ditahan lagi, Yanliang menggagahkan diri ke klinik desa untuk mendapatkan suntikan penahan sakit. Namun sejurus selepas suntikan, kakinya tidak lagi mampu berdiri seperti biasa.
Disebabkan itu, dia dibawa ke hospital besar untuk diperiksa termasuk di Beijing dan Baoding. Pemeriksaan menemukan keputusan ganjil iaitu urat di bahagian kaki kanan dan di bawah lutut kaki kirinya sudah tiada.
Rata-rata doktor berpendapat, penyakit ini amat pelik dan jarang berlaku dalam sejarah perubatan di sana. Justeru tiada rawatan moden dapat ditawarkan selain berbalik pada rawatan alternatif. Lebih haru, Yanliang diputuskan mampu hidup dalam masa beberapa bulan sahaja.
Disebabkan doktor sudah berkata demikian apatah lagi segala duit simpanan yang ada sudah digunakan keluarganya untuk membayar bil perubatan, Yanliang dibawa balik ke rumah semula.
TERPAKSA POTONG
Di rumah, sesiapa pun yang tinggal berdekatan tidak dapat menahan lihat penderitaan dialami Yanliang. Kesakitan dialaminya sangat dahsyat hingga jiran tetangga sudah lali mendengar dia meraung kesakitan.
Apa yang mampu dilakukannya cuma bersandar atau duduk kerana posisi baring akan menambahkan sakit. Jika satu dos ubat tahan sakit biasanya cukup untuk lelaki biasa dalam masa sehari, tiga dos ubat yang sama pun tidak mampu menyingkirkan kesakitan dialami Yanliang.
Beberapa hari kemudian, kesan lebam kehitaman mula timbul di kaki kanan lelaki yang dahulunya ketua keluarga ini diikuti bengkak yang kian membesar, bernanah seterusnya pecah sampai menampakkan isi dan tulang kaki.
Apabila ini berlaku, semakin jelaslah kaki Yanliang tidak dapat diselamatkan lagi. Apa yang ditakuti, kuman pada bahagian kaki yang membusuk akan melarat dan membawa kepada kematian. Maka pilihan yang ada sudah tentulah memotongnya.
Namun waktu ini, kewangan keluarga Yanliang sangat meruncing. Untuk makan sekalipun kadang-kadang tak ada inikan pula mahu membawanya ke hospital. Keluarga Yanliang merayu kepada doktor di klinik desa untuk melakukannya namun doktor itu sendiri tidak berani kerana kekurangan peralatan.
Diam-diam, Yanliang yang sudah tidak mampu menanggung derita mempunyai rencana sendiri. Sekitar jam 11 pagi pada 14 April 2012, dia menyuruh isterinya yang sudah terlalu letih kerana menjaganya sepanjang hari agar pergi berehat dan tidur.
Selepas ditinggalkan berseorangan, Yanliang mengambil sebilah pisau buah plastik berwarna merah, gergaji besi dan penggaru belakang badan. Dia kemudiannya membalut tuala kecil pada penggaru lalu memasukkannya ke dalam mulut. Lantas tanpa membuang masa, lelaki tabah ini mula melakukan pembedahan memotong kakinya sendiri.
Hanya dengan tiga peralatan – pisau buah, gergaji besi dan penggaru yang dililit tuala; Yanliang berjaya juga memutuskan keseluruhan anggota kaki kanannya daripada badan. Pembedahan itu boleh dikatakan berjaya.
Malangnya, hari ini kaki kiri Yanliang pula menunjukkan tanda-tanda sedang diserang penyakit ganjil yang menimpa kaki kanannya sebelum ini. Maka dia dan keluarganya tahu, masa sudah tidak banyak untuk penderitaan sebelum ini berulang kembali.
Apakah Yanliang mampu untuk memotong sendiri kaki kirinya pula? Lelaki ini cuma seorang manusia biasa. Jika ada cara lebih baik dan tidak menyakitkan seperti ditempuhnya sebelum ini, sudah tentulah dia tidak bodoh memilih cara itu.
Justeru Yanliang kini sedang menagih bantuan daripada pihak yang baik hati untuk membantu merawat kaki kirinya. Dia juga berharap diberikan kaki palsu agar boleh kembali berdiri, berjalan dan bekerja bagi menyara isteri dan anak perempuannya yang terpaksa meningalkan sekolah demi menggantikan tempatnya mencari rezeki.
0 comments:
Post a Comment