EKSKLUSIF: PENJELASAN MENGAPA KERETA PROTON DIJUAL MURAH DI LUAR NEGARA

SEBELUM ini, sudah banyak kali kita mendengar dakwaan harga jualan bagi beberapa model kereta keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) di luar negara dikatakan lebih rendah berbanding harga dalam negara.

Ramai penulis blog dan pengguna mendakwa kereta Proton di negara seperti Australia dan Arab Saudi dijual jauh lebih murah.

Pemeriksaan Sinar Harian menunjukkan, sebagai contoh, Proton Preve di Malaysia dijual pada harga bermula daripada RM58,921 bagi model 1.6 Executive Manual, tetapi di Australia, model sama dijual pada harga RM46,964 (atau 15,990 dolar Australia).

Namun, jika dilihat dalam laman sesawang Proton Australia, harga asal Proton Preve di Australia ditetapkan pada RM55,775 (18,990 dolar Australia) dan harga RM46,964 itu hanyalah promosi Proton di sana.

Tetapi ada pula yang mempersoalkan, jika Proton mampu memberikan harga promosi serendah itu di Australia, mengapa tidak Proton melakukan perkara sama di Malaysia yang merupakan negara pengeluar kenderaan tersebut?

Harga Proton murah kerana perlu bersaing

Bagi mendapatkan jawapan mengenai isu harga Proton yang dikatakan lebih murah di negara luar berbanding Malaysia, Sinar Harian menghubungi salah seorang pakar industri automotif untuk mendapatkan penjelasan dan pandangan beliau mengenai hal tersebut.

Menurutnya, bagi syarikat pengeluar kenderaan termasuk Proton, apa yang penting adalah keuntungan keseluruhan, di mana kereta dijual di dalam Malaysia mahupun dieksport ke luar negara mestilah secara keseluruhannya memberi keuntungan.

“Apa yang saya tahu daripada Proton, apabila kereta Proton memasuki pasaran Australia buat pertama kali, mereka perlu bersaing kerana pasaran automotif di sana lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia.

“Begitu juga dengan harga kereta Proton di sana, tidaklah murah sangat cuma sedikit murah daripada harga di Malaysia. Ini kerana kalau dijual mahal di Australia, Proton mungkin menanggung risiko kekurangan pembeli," katanya yang enggan dikenali.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, apa yang penting adalah Proton perlu menembusi pasaran automotif di Australia serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama Proton di negara itu, menyebabkan syarikat itu perlu menawarkan promosi terbaik termasuk harga jualan yang dilihat lebih rendah berbanding di Malaysia sendiri.

Tidak tahu sama ada Proton rugi atau untung

Walaupun kereta Proton dijual dengan harga murah di luar negara, tidak boleh dipastikan sama ada pengeluar kenderaan nasional itu memperoleh keuntungan atau mengalami kerugian.

"Kita tidak tahu mereka untung atau rugi kerana kita tidak tahu berapa kos pembuatan sebuah kereta. Kalau kosnya kurang daripada harga jualan (walaupun murah), maknanya Proton boleh melihat model mana yang sesuai untuk memasuki pasaran yang telah disasarkan.

“Katakanlah penembusan pasaran kereta disasarkan sekitar RM40,000 di sesuatu negara, jadi Proton perlu tahu sama ada harga itu kompetitif atau tidak dan melihat kesedaran pengguna di negara tersebut mengenai jenamanya," katanya.

Menurut beliau, Proton sebelum ini diketahui mengeksport kereta keluarannya ke lebih 50 negara seluruh dunia tetapi di sesetengah negara itu, Proton cuma mampu menjual bilangan kereta yang sedikit.

"Jika hanya dapat jual sedikit kereta, macam mana hendak buat tawaran selepas jualan seperti perkhidmatan penyenggaraan? Ini juga tidak membantu dalam menjenamakan Proton di negara tersebut.

“Tetapi berbeza dengan pengurusan baru Proton, sekarang mereka hanya akan memasuki pasaran yang mereka rasa boleh menjual kenderaan dengan harga agak tinggi dan dengan harga tersebut, mereka juga dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan seperti servis kereta," katanya.

PASARAN LUAR LEBIH KOMPETITIF

PASARAN automotif negara luar, misalnya Australia, yang jauh lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia adalah antara sebab mengapa harga kereta Proton dijual lebih murah di sana.

Penganalisis dari firma penyelidikan industri automotif Frost and Sullivan berkata, terdapat beberapa sebab mengapa Proton menjual harga keretanya lebih murah di luar negara berbanding Malaysia.

"Sebab utama adalah pasaran yang sangat kompetitif, kedua kadar cukai sesebuah negara itu berbeza dan ketiga adalah dari segi penjenamaan.

“Jika Proton menjual kereta mereka lebih mahal daripada harga pemain automotif di Australia, sudah pasti kereta mereka tidak akan terjual kerana Australia mempunyai penanda aras bagi harga kereta yang dijual," katanya.

Menurut beliau, Proton yang dianggap bukan pesaing kepada kenderaan buatan Jepun dan Amerika Syarikat yang dijual di Australia
perlu memberi harga lebih baik bagi menarik pelanggan di sana.

Dari segi cukai pula, beliau berkata, kadar cukai di setiap negara adalah berbeza dan di Australia, duti eksais dan duti importnya adalah lebih rendah sehingga hampir mencecah kepada sifar.

“Sebab itulah harga kereta yang dijual di sana lebih murah berbanding di negara kita.

“Bagi penjenamaan pula, Proton masih baru di Australia dan jenamanya masih belum dikenali secara meluas dan kerana itu perlu menjual kereta dengan harga sedikit rendah,” katanya.

Beliau juga berkata, jika Proton ingin menjual kereta dengan harga mahal di pasaran luar, syarikat itu perlu menambah ciri-ciri kepada keretanya yang dijual kepada pelanggan di luar negara.
Harga murah bukan harga sebenar

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank ketika dihubungi berkata, harga kereta Proton di Australia adalah lebih murah kerana promosi.

“Jika kita lihat, di laman sesawang Proton Australia, telah ditulis harga rendah itu adalah harga promosi, bukan harga sebenar,” katanya.

Beliau juga berkata, bagi pasaran Australia, penggantian stok kenderaan di sana selalunya berlaku lebih pantas berbanding di Malaysia.

“Misalnya, pengeluar kenderaan seperti Toyota mempunyai stok baru untuk dibawa masuk ke pasaran Australia, jadi mereka akan lakukan promosi dengan mengurangkan harga untuk menjual stok lama.

“Apa yang penting, kos kereta masih lagi dapat ditampung dan kos berkaitan dikurangkan supaya pengeluar kereta dapat kurangkan harga semasa promosi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis CIMB Research pula berkata, harga Proton murah di luar negara kerana penjenamaan Proton itu sendiri belum cukup kukuh.

“Jika mahu masuk pasaran automotif negara luar, perlu ada harga yang kompetitif serta penjenamaan kukuh kerana jenama Proton tidak seperti jenama lain yang sedia ada.

“Jenama Proton tidak berapa dikenali dan kualitinya belum diyakini kerana masih baru (di pasaran negara luar) jadi mereka perlu kurangkan harga kereta untuk tembusi pasaran di sana,” katanya


  Sumber

0 comments:

Post a Comment