Pelakon wanita drama 'Kampung Girl' bersekedudukan?


BERGELAR seorang pelakon bukan seindah yang digambarkan kerana setiap gerak geri pasti sahaja diperhatikan oleh setiap mata. Kalau cerita baik mungkin tidak akan menjadi masalah bahkan akan menjadi ikutan namun sekiranya kedengaran berita yang kurang enak pasti sahaja masalah akan menyelubungi artis yang terlibat.

Gosip bukan satu perkara yang asing terhadap artis-artis, tidak terkecuali turut singgah kepada bintang utama siri Kampung Girl, Nad Zainal.

Menurut satu sumber, Nad dikatakan tinggal sebumbung bersama teman lelakinya yang juga artis baru, Azman Kombos. Jelas sumber itu lagi, kelibat Azman selalu sahaja bertandang ke kediaman Nad di Ampang, Selangor.

“Mengucap panjang saya apabila dapat tahu perkara ini, sepanjang saya berkawan dan bercinta dengannya selama ini saya tidak pernah melakukan perkara-perkara terkutuk seperti yang didakwa.

“Saya tidak nafikan yang Azman memang datang ke rumah saya tetapi dia datang ketika kedua ibu bapa saya ada di rumah. Kalau saya berseorangan dia tidak berani untuk bertandang ke rumah.

“Mungkin orang berkata begitu kerana terlihat Azman ke rumah saya pada lewat malam. Kebiasaannya dia menghantar saya pulang. Maklumlah kadang-kadang saya balik rumah agak lewat kerana ada penggambaran," jelas Nad.

Malah tegasnya, perkara negatif seumpama itu tidak akan dan tidak pernah berlaku kerana dia tinggal dengan keluarga.

“Saya cukup pelik apabila ada manusia yang sanggup mendakwa saya melakukan perkara keji itu. Saya tahu apa benda yang patut dan tidak patut saya lakukan, saya juga perlu jaga nama saya dan kedua ibu bapa saya yang membesarkan saya selama ini," tegasnya.

Sudah menjalinkan hubungan selama tiga tahun, Nad memberitahu hubungannya bersama Azman adalah serius.

“Saya dan Azman memang serius dalam hubungan ini dan saya harapkan hubungan kami akan menjadi seperti yang saya harapkan.

“Ramai peminat yang bertanya bila kami akan hidup bersama (kahwin). Buat masa ini kami masih tidak ada tarikh dan masa yang tepat untuk ke arah itu namun saya harapkan doa semua agar hubungan ini akan berkekalan selama-lamanya," jelasnya.

Minat bermusim


Bercerita mengenai perkembangan industri seni, Nad turut menyatakan kebimbangan dengan situasi dewasa ini yang kebanyakannya suka mengambil pelakon muda untuk membawakan watak-watak matang sebagai suami isteri dan ibu bapa.

“Sebenarnya industri seni kita cukup pelik jika hendak dibandingkan dengan industri seni luar. Namun saya percaya situasi ini berlaku akibat daripada kebanjiran pelakon baru ketika ini.

“Sebagai pelakon memang kita tidak boleh nak buat apa-apa, saya sendiri juga pernah berlakon sebagai ibu dalam sebuah drama sebelum ini.

“Sekiranya perkara ini terus berlaku, bagi saya ini adalah satu situasi atau keadaan yang cukup tidak adil kepada para pelakon senior lain kerana mereka sebenarnya yang lebih berhak untuk memegang watak-watak sebegini.

“Memang industri kita macam ini, penonton kita juga dilihat tidak sabar-sabar untuk melihat pelakon baru kerana mereka mudah bosan dengan pelakon sedia ada.

“Saya berharap agar situasi seperti ini dapat dibendung agar pelakon-pelakon lain akan mendapat rezeki mereka masing-masing," jelasnya.

Suka watak tokoh

Jika diperhatikan kepada corak lakonan Nad kebanyakan watak yang dilakonkan cukup menjadi tidak kira watak antagonis mahupun protagonis.

Namun jelas Nad, dia lebih menyukai watak wanita kampung kerana katanya watak sebegini memerlukan penghayatan yang cukup hebat berbanding watak urban yang menjadi rebutan pelakon-pelakon baru sekarang.

“Selain watak wanita kampung, saya sebenarnya cukup mendambakan watak tokoh terkenal.

“Watak biografi yang paling saya dambakan adalah primadona filem kita, Latifah Omar. Saya cukup sukanya. Saya teringin untuk memegang wataknya yang begitu hebat ketika era filem hitam putih pada tahun 1960-an.

“Ketika itu, ramai pelakon-pelakon hebat yang dilahirkan malah sehingga kini kita masih ingat setiap lakonan seniman serta seniwati di era itu.

“Watak seumpama ini adalah bahan rujukan yang sedia ada, jadi kita sebagai pelakon ini tidak lari daripada watak sebenar.

“Membawakan watak tokoh mencabar terutama dari segi penerimaan penonton kerana mereka sudah tahu perwatakan sebenar tokoh yang kita lakonkan itu," jelas Nad yang akan menjayakan pementasan teater Maduku...Kalut di Istana Budaya pada 27 hingga 30 September ini.

Bergandingan dengan pelakon Izzue Islam, teater tersebut mengangkat kisah kehidupan seorang pemandu teksi, Selamat yang tersepit dengan penipuan yang diciptanya sendiri apabila dia terpaksa memberikan komitmen terhadap kerja yang tidak menentu masa dan rahsia mengenai kehidupan rumah tangganya bersama dua orang isteri..

Naskhah teater itu diadaptasi oleh Mazli Abdul Rahman berdasarkan skrip Run For Your Wife karya Roy Cooney. Pementasan ini diarahkan oleh Muhammad Azhar Zainal.

Teater ini turut menampilkan pelakon seperti Jihan Raja Lawak, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nazurah Hanoom.



Sumber

0 comments:

Post a Comment