Beri salam sebelum lepas tiga tembakan


Seorang penjenayah sempat memberi salam sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah seorang kontraktor dalam kejadian di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, malam kelmarin.
Dalam ‘tragedi Maghrib’ pada jam 7.30 malam itu, mangsa Mohd Nasir Zakaria, 53, cedera di lutut dan paha kiri akibat terkena tembakan dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Menurut isteri mangsa, Zahmahnu Che Abdullah, 39, sebelum kejadian dia terdengar orang memberi salam dan memanggil suaminya dengan panggilan Abe Sir.
“Saya menjenguk di tingkap dan melihat seorang lelaki memakai topi menunggu di depan pintu masuk rumah.
“Beberapa minit kemudian suami keluar menemui lelaki itu selepas selesai mandi, namun tiba-tiba lelaki terbabit menembak ke arah suami. Tembakan itu mengenai lutut dan paha kiri suami, manakala satu lagi peluru tersasar ke dalam rumah,” katanya.
Katanya, lelaki terbabit melarikan diri dan dia bersama anak lelakinya membawa suaminya ke HUSM dengan menaiki kereta.
“Saya tidak tahu mengapa suami diperlakukan sedemikian rupa. Setahu saya suami saya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.
“Apapun, saya bersyukur kerana suami selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah balas dendam.
Katanya, suspek sudah dikenalpasti dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa.
Sumber

0 comments:

Post a Comment