Kubur Puntianak Ditemui??


Kubur Puntianak Ditemui?? | DI sekitar Nusantara, hantu wanita berambut panjang mengurai sambil berpakaian serba putih dikenali sebagai puntianak. Cerita yang berlegar-legar di Malaysia dan Indonesia itu mendakwa puntianak sebagai jelmaan hantu wanita yang mati ketika hamil.

Puntianak yang berkuku panjang itu dikatakan muncul pada waktu malam. Terdapat kisah yang mendakwa hantu yang gemar menghisap darah manusia itu akan berada di celah-celah pokok pisang pada waktu siang sebagai tempat tinggalnya.

Namun, bagi masyarakat Barat, puntianak atau dikenali sebagai vampire dikatakan jelmaan seorang lelaki atau wanita. Ia turut menghisap darah sebagai makanan.

Kisah puntianak turut difilemkan di Amerika Syarikat menerusi empat siri filem Twilight yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Kali terakhir filem itu disiarkan adalah pada tahun lalu. Kisah fantasi percintaan puntianak itu diadaptasi daripada novel karya Stephenie Meyer.

Pada minggu lalu pula, media Barat melaporkan sekumpulan ahli arkeologi mendakwa mereka menemui sebuah kubur di tepi jalan raya di tapak pembinaan di Gliwice, Poland.

Sebanyak empat rangka manusia ditemui dalam kubur itu.

Anehnya semua empat tengkorak ditemui berada di celah tulang kaki.

Spekulasi kemudian tersebar luas bahawa rangka yang ditemui itu ialah puntianak kerana tengkorak tersebut diletakkan di celah kaki.

“Amat sukar untuk menyatakan bila pengebumian itu dilakukan,” kata seorang ahli arkeologi, Dr. Jacek Pierzak kepada akhbar Dziennik Zachodni baru-baru ini.

Masyarakat Barat pada zaman pertengahan percaya dengan amalan memancung kepala si mangsa yang dipercayai puntianak dan meletakkannya di celah kaki sebelum dikebumikan.

Tujuan cara pengebumian itu dilakukan adalah untuk mengelakkan si mati hidup kembali.

Para pengkaji sejarah menganggarkan bahawa pemilik tulang tersebut mati pada sekitar abad ke-16.

Kisah itu merancakkan lagi kajian tentang kepercayaan mengenai kewujudan puntianak di Barat.

Sebelum ini, ahli-ahli arkeologi di Bulgaria juga menemui dua rangka manusia di sebuah lubang dekat sebuah biara di bandar Sozopol pada tahun lalu.

Batang besi ditemui pada tulang dada rangka tersebut, sekali gus menunjukkan ia mungkin mayat puntianak.

Masyarakat pada zaman pertengahan Eropah percaya, jika batang besi ditusuk di dada, mayat si mangsa tidak akan bangkit semula untuk menjadi puntianak.

Kedua-dua rangka manusia itu dianggarkan berusia 800 tahun.

Menurut Ketua Muzium Bulgaria, Bozidhar Dimitroz, kira-kira 100 mayat ‘puntianak’ telah ditemui di sekitar negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai penduduk kampung di beberapa kawasan pedalaman Eropah Timur masih percaya dengan cerita puntianak. Mereka akan membawa bawang putih bersama lambang salib bagi mengelakkan diserang hantu jahat tersebut.

Pakar-pakar arkeologi turut menemui kira-kira 3,000 kubur misteri di Republik Czech apabila setiap mayat ditindih dengan batu.

Para pengkaji percaya bahawa masyarakat dahulu amat bimbang jika mayat akan bangkit dari kubur dan menyerang mereka.

Puntianak dikatakan akan menunggu di jalan-jalan bagi menghisap darah manusia dan haiwan untuk terus hidup.

Pada tahun 2006, satu rangka wanita pada abad ke-16 ditemui di Pulau Lazzaretto Nuovo, Itali.

Terdapat seketul batu diletakkan di dalam mulut si mangsa yang merupakan kepercayaan masyarakat pertengahan Eropah bagi mengelakkannya bangkit menjadi puntianak.

Pada tahun lalu, sebahagian penduduk di kampung Zarozje, Serbia membawa bawang putih bagi mengelak mereka diserang puntianak.

Terdapat juga cerita popular di Scotland yang berlaku pada abad ke-12 mengenai seorang paderi yang telah mati tetapi bangkit dari kubur untuk menghisap darah.

Paderi di Melrose itu bangkit menjadi puntianak kerana semasa hidupnya, dia terlibat dengan perbuatan maksiat.

Beberapa penduduk tempatan ketika itu mendakwa menemui kelibat paderi tersebut di sekitar sebuah biara beberapa hari selepas dia dikebumikan.

Dalam pada itu, seorang pengamal perubatan Islam dan pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Shafei menjelaskan bahawa penemuan-penemuan di Barat itu tidak boleh menjadi bukti tentang kewujudan puntianak.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa rangka-rangka mayat itu merupakan puntianak.

“Penduduk zaman dahulu membuat andaian tentang puntianak kerana ketakutan mereka dengan cerita-cerita (hantu) yang berlegar ketika itu.

“Namun, kita juga tidak boleh menolak tentang upacara-upacara pemujaan yang dibuat masyarakat Barat kerana dipercayai bahawa amalan perbomohan dalam kalangan masyarakat Nusantara turut dipengaruhi budaya Barat sejak zaman lampau,” katanya.

Shamsuri memberitahu, kisah gangguan puntianak masih lagi ditakuti penduduk di sebahagian kawasan di Indonesia sehingga mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak diserang hantu itu.

“Cerita-cerita mengenai puntianak yang merupakan jelmaan daripada amalan pemujaan terhadap mayat wanita hamil tujuh hingga lapan bulan yang mati dibunuh pada suatu ketika dahulu telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat (di Indonesia).

“Ada juga dalam kalangan masyarakat di pedalaman Pulau Jawa yang akan mengunci pintu pada waktu malam kerana khuatir diganggu puntianak,” katanya.
Sumber

0 comments:

Post a Comment