PERGADUHAN DI KLANG Serangan bukan bermotif perkauman (VIDEO)


Kapar: Polis menolak khabar angin pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja di sini, malam kelmarin bermotifkan perkauman.
  Difahamkan, pergaduhan membabitkan 20 lelaki itu berpunca daripada salah faham berikutan kemalangan yang berlaku sehari sebelum kejadian yang mencederakan seorang lelaki dipercayai rakan kumpulan penyerang.

  Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan penyerang menggunakan senjata seperti parang, besi dan kayu dalam pergaduhan itu berdasarkan kecederaan dialami dua mangsa yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.



  Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong (gambar) berkata, kemalangan membabitkan dua beradik berusia 20-an yang menaiki sebuah motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta dinaiki empat lelaki di Persiaran Sungai Keramat di sini, Rabu lalu.

  Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan dua beradik yang juga rakan kepada kumpulan penyerang dipukul lelaki yang menaiki kereta berkenaan menggunakan senjata tajam menyebabkan si abang  parah dan dikejarkan ke HTAR manakala si adik  melarikan diri.

  “Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit yang mencederakan abangnya, si adik memaklumkan kejadian kepada rakannya yang juga seorang daripada anggota kumpulan penyerang.


  “Sehari selepas kemalangan, pada jam 10.40 malam, kumpulan penyerang terdiri 20 orang bersenjatakan parang, besi dan kayu pergi ke Flat Rebana dan menyerang lelaki dipercayai individu yang memukul dan mencederakan rakan mereka yang terbabit dalam kemalangan pada Rabu lalu,” katanya.

  Mohamad Shukor berkata, akibat pergaduhan di tiga lokasi sekitar kawasan flat berkenaan, tujuh individu berusia 20-an dikejarkan ke HTAR kerana mengalami kecederaan, namun dua masih dirujuk ke wad kerana mengalami kecederaan di kepala dan badan manakala bakinya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.    

Katanya,  polis menolak kemungkinan kejadian bermotifkan perkauman kerana selepas soal siasat terhadap mangsa yang dipukul, polis percaya kejadian berpunca akibat salah faham ketika kemalangan.


  Beliau berkata,  pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lelaki berusia 20-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Tonton VIDEO di bawah ini 



Sumber

0 comments:

Post a Comment