KL Gangster 2 bocor, dalangnya sudah dikenal pasti?
KUALA LUMPUR - "Kejadian ini merupakan satu pengkhianatan, rompakan dan sabotaj bagi kami (Skop Production)," tegas Datuk Yusof Haslam berhubung filem terbitannya, KL Gangster 2 yang kini bocor di internet.
Filem arahan Syamsul Yusof yang dibintangi Aaron Aziz, Adi Putra, Rosyam Nor, Zizan dan Sofie Jikan itu sepatutnya ditayangkan kepada penonton di pawagam pada Oktober depan.
Akui kecewa dan terkilan dengan insiden itu, Yusof berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.
Selain laporan polis, beliau turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menangani masalah tersebut.
"Ia bukan perkara main-main kerana hal ini sangat serius. Apatah lagi ia kali pertama berlaku dalam sejarah perfileman.
"Saya tidak akan membiarkan mereka yang membocorkan filem ini terlepas begitu saja. Saya akan pastikan mereka akan dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.
Menurut Yusof, anaknya Syamsul juga sangat kecewa dan terkejut kerana hasil titik peluhnya selama ini hancur begitu sahaja. Sementelah lagi filem yang menelan belanja RM4.5 juta itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan sepenuhnya.
Meskipun ada desas-desus mengatakan 'kebocoran' filem itu didalangi oleh 'orang dalam', Yusof bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
"Hanya orang tertentu sahaja menyimpan CD asal filem ini. Saya syak bahawa ia bermula ketika kami melakukan pra-tayangan di sebuah pawagam dan ketika itu saya turut hadir dalam majlis itu," katanya.
Beliau berkata, video yang tersebar itu serupa seperti yang ditayangkan waktu itu dan dia tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang sama terlibat.
Menurutnya, filem yang berbentuk digital format itu senang untuk disalin dan dimuat naik terus ke internet untuk tontonan secara percuma.
"Sekarang dunia siber, petik saja jari kita boleh mendapat apa sahaja. Saya harap perkara ini dapat dijadikan iktibar untuk semua penggiat seni.
"Jangan mempercayai orang lain 100 peratus kerana mungkin ia akan memakan diri," katanya.
Sumber
0 comments:
Post a Comment