Bekas Suami Nafi Dakwaan Rogol Nor Fazira
KULIM – Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, menafikan dakwaan bahawa dia telah merogol Nor Fazira Saad dan mengahwininya untuk mengelakkan diri daripada didakwa.
“Kami hanya mengadakan hubungan selepas berkahwin,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nagalilit dekat sini.
Dia mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil, tiga atau empat bulan sebelum dia menyedarinya.
“Rakan-rakan saya yang ada di sana melihat dia (Nor Fazira Saad) begitu mesra dengan seorang lelaki. Dia mengenali lelaki itu ketika bekerja di pekan Padang Serai (dalam daerah Kulim).
“Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya membuat keputusan untuk menceraikannya,” kata Mohd Fahmi.
Mohd Fahmi menceraikan Nor Fazira dengan talak satu.
Dia berkata, mereka merupakan pasangan bahagia sebelum lelaki itu mengganggu rumah tangga mereka.
“Dia amat biadap terhadap ibu bapa saya dan tidak pernah memasak.
“Dia akan lari dari rumah setiap kali dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara,” kata Mohd Fahmi.
Ibu Mohd Fahmi yang enggan namanya didedah berkata, turut menyangkal dakwaan Nor Fazira tidak diberi makan.
“Kami menjaganya dengan baik dan menerimanya walaupun dia berperangai jahat,” katanya.
Mohd Fahmi yang bekerja di ladang kelapa sawit menerima gaji RM1,000 sebulan.
Dia berhenti sekolah ketika berumur 16 tahun untuk bekerja.
Dia mendakwa bertemu Nor Fazira dua bulan sebelum perkahwinan mereka, November tahun lalu.
“Pada mulanya hubungan kami tidak ubah seperti hubungan adik beradik tetapi perasaan cinta mula wujud selepas itu,” kata Mohd Fahmi
0 comments:
Post a Comment