Raja Azmi perjelas isu persenda agama

Kuala Lumpur: “Saya betul-betul kecil hati dan terkilan dengan tuduhan macam itu. Sampai hati mereka tuduh tanpa usul periksa,” luah penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman berhubung dakwaan kononnya dia mempersenda Islam dalam sebuah majlis baru-baru ini.

Raja Azmi, 54, berkata, tuduhan mengatakan dia menganggap upacara bacaan doa dalam majlis anjurannya baru-baru ini tidak penting bertentangan dengan kejadian sebenar yang berlaku.

“Takkanlah Kak Mi nak cakap macam itu? Kak Mi sangat kesal dengan fitnah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan benda tak betul.

“Tapi yang lebih buat Kak Mi kecewa apabila akhbar terbabit (bukan kumpulan NSTP) sewenang-wenangnya mengeluarkan artikel itu tanpa bertanyakan kesahihannya dulu,” katanya ketika menghubungi Harian Metro, semalam.

Menerusi artikel di sebuah akhbar mingguan, peserta rancangan MasterChef Malaysia All Stars itu dituduh memperlekeh agama Islam apabila mengeluarkan kenyataan kononnya bacaan doa dalam majlis anjurannya baru-baru ini bukan perkara penting.

Laporan itu turut mendakwa Raja Azmi mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran bahawa bacaan doa wajar dilakukan di surau atau masjid saja dan bukan pada majlis hiburan.

Raja Azmi berkata, dakwaan dilaporkan itu bercanggah dengan fakta sebenar dan dia mempunyai bukti berdasarkan rakaman video pada hari kejadian.

“Lain saya cakap lain pula ditulis. Itu yang buat saya geram. Saya cakap dalam majlis itu, bacaan doa tak perlu dibuat lagi sebab saya sudah buat doa selamat terlebih awal di rumah sebelum majlis.

“Kenapa pula fitnah saya cakap doa selamat hanya sesuai di masjid atau surau saja? Bukankah sudah bercanggah kenyataan itu? Saya ada rakaman video pada majlis itu untuk buktikan apa yang saya cakapkan,” katanya.

Katanya, dia turut berharap akhbar berkenaan lebih berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang artikel berunsur kontroversi pada masa akan datang.

“Lebih baik tanya dulu sebelum buat cerita. Fitnah macam itu bukankah tidak baik sedangkan benda dituduh tak berlaku langsung,” katanya.



Sumber

0 comments:

Post a Comment