Malaysia di Landa Cuaca Sejuk - Kinabalu, suhu di bawah 15 darjah Celsius
Suhu sejuk melanda jajahan ini sejak seminggu lalu menyebabkan ramai penduduk mengehadkan kegiatan, selain memakai pakaian tebal, terutama pada waktu malam.
Penduduk menyifatkan situasi ketika ini sebagai kejadian luar biasa kerana selalunya pada awal tahun, suhu jajahan terbabit kembali panas, selepas negeri dilanda banjir baru-baru ini.
Surirumah dari Kampung Sungai Dala, Rosmanita Zainal Abidin, 42, berkata suhu terlalu sejuk pada waktu pagi, menyebabkan beliau terpaksa menjerang satu periuk besar air untuk kegunaan anaknya mandi sebelum ke sekolah.
“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi.
“Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.
“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” katanya.
Warga tua, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata cuaca sejuk menyebabkan dia mengelak keluar rumah pada waktu malam dan awal pagi kerana bimbangkan masalah kesihatan diri.
“Suasana sejuk mula dirasai selepas jam 5 petang membuatkan kami bagaikan berada di luar negara seperti yang sering ditonton dalam televisyen,” katanya.
Penduduk Kampung Tualang, Rohaida Mohamed, 36, berkata suasana sejuk dialami ketika ini menyebabkan mereka tidak perlu menghidupkan kipas kerana keadaan terasa seperti menggunakan pendingin hawa.
“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” katanya.
Sementara itu, suhu serendah 17 darjah celsius sekitar Kuala Krai, Kelantan dan 19 darjah di Besut, disifatkan tahap paling sejuk pernah direkodkan di Pantai Timur.
Pengarah Meteorologi Terengganu/Kelantan, Jenuwa Husin, berkata penurunan suhu itu disifatkan rekod berbanding suhu biasa dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius.
Di Sabah, Pengarah Meteorologinya, Abdul Malek Tusin, berkata fenomena cuaca sejuk sejak lima hari lalu menyaksikan Keningau mencatat suhu terendah 17 darjah Celsius, lebih rendah berbanding tanah tinggi Kundasang pada tahap 20 darjah Celsius.
Katanya, walaupun tidak dilakukan sebarang pengukuran, namun suhu di puncak Gunung Kinabalu, dijangka lebih sejuk berbanding suhu normal iaitu di bawah 15 darjah Celsius.
Sumber
0 comments:
Post a Comment