TERBIT KALENDAR 2013 HINA HUKUM HUDUD

no hudud dalam kalendar

TERBIT KALENDAR 2013 HINA HUKUM HUDUD  | KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba untuk mengelirukan orang bukan Islam terhadap agama Islam dengan pengeluaran dan penerbitan kalendar 2013 yang cukup jelas menghina agama Islam iaitu hukum hudud.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, penerbitan kalendar 2013 di dalam dwibahasa, Cina dan Inggeris, ini secara jelas sebagai satu mesej untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap hukum hudud yang tidak ada kena mengena langsung dengan masyarakat bukan Islam.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tindakan biadap ini adalah suatu tindakan bacul dan pengecut pihak-pihak yang pastinya mempunyai akal fikiran yang tidak waras.
“Tindakan ini juga sebagai satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mendesak pihak polis dan jabatan agama dapat mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama dengan isu ini,” ujarnya.
Tambahnya, Pemuda PAS Selangor turut mendesak dan menuntut supaya semua pihak yang bertanggungjawab di atas pembiayaan, penerbitan, pengeluaran dan pengedaran kalendar itu untuk tampil memohon maaf secara terbuka kerana menghina agama Islam dan menarik semula kalendar ini daripada pasaran.

0 comments:

Post a Comment