Amboi…Yasmin Tak Boleh Dedah Nama, Gambar Anak Sebab Terikat Kontrak Dengan Astro
Kuala Lumpur – Pengacara dan pelakon Yasmin Hani Richardson mengakui jatuh cinta dengan pengalaman pertama bergelar seorang ibu.
Yasmin Hani, 34, berkata, kelahiran bayi lelaki yang masih dirahsiakan namanya pada pagi kelmarin mencetuskan perasaan luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya tak tahu bagaimana nak ungkapkan secara terperinci perasaan ini selepas dua hari bergelar ibu.
“Selain seronok dan bersyukur dengan kelahiran ini, yang pasti sekarang saya menjadi taksub pada anak ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Yasmin Hani selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang dirahsiakan namanya menerusi pembedahan di Pusat Perubatan Prince Court di sini, pagi kelmarin.
Bekas pengacara Beat TV itu berkahwin dengan bekas gitaris kumpulan Black Rose, Sha’arin Mohammed Razali, 40-an, pada 21 Oktober 2011 di Duchess Place, Jalan Ampang di sini.
Yasmin Hani berkata, lebih manis lagi apabila proses kelahiran bayi sulungnya itu berlaku tepat seperti jangkaan tarikh bersalin ditetapkan pihak hospital.
“Alhamdulillah anak saya lahir ‘ngam-ngam’ dalam tempoh 40 minggu. Memang tarikh 12 November itu tepat seperti jangkaan.
“Semuanya OK, bayi sihat dan cukup sifat. Malah saya juga tak sabar balik ke rumah untuk jalani proses berpantang secara tradisional dengan pantauan emak,” katanya.
Yasmin Hani berkata, bagaimanapun dia tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai butiran bayi atau gambarnya berikutan sudah terikat dengan perjanjian untuk hak penyiaran sebuah program televisyen, Januari depan.
“Kami memang sudah ada nama pilihan namun tak dapat didedahkan dulu berikutan kontrak berkenaan sudah diikat.
“Saya minta maaf tak dapat nak kongsi nama, gambar atau butiran lanjut bayi itu kerana semuanya akan didedahkan secara eksklusif dalam program berjudul Celebrity Maternity di Astro nanti,” katanya.

0 comments:
Post a Comment