Kes Rabecca & Erma, Bade Tak Berpihak Pada Sesiapa

Kes Rabecca & Erma, Bade Tak Berpihak Pada Sesiapa

"Saya berharap agar perkara ini tidak lagi berulang lagi dalam industri kita!," tegas pengarah terkenal, Bade Hj Azmi, berhubung kontroversi saman yang berlaku antara isterinya, Erma Fatima, dengan pelakon seksi, Rebecca Nur Islam, sebelum ini.

Menurut Bade, sejak awal lagi dia tidak menyebelahi mana-mana pihak, meskipun isterinya sendiri. Menghormati Erma sebagai pengarah yang berkaliber dan juga Rabecca sebagai pelakon berbakat besar, Bade berharap agar perkara ini menjadi sebagai iktibar dan pengajaran kepada semua penggiat dalam industri seni.

“Dengan berlakunya kontroversi seperti ini, ia bukanlah membantu, sebaliknya hanya mencalarkan kredibiliti seseorang pelakon mahupun penerbit itu.

“Kita tidak mahu perkara yang berlaku ini berulang. Lebih baik menggunakan pendekatan saling memaafkan supaya perkara sebegini tidak timbul dan ia berkesudahan dengan baik,” katanya.

Menurut Bade, dia bimbang perbalahan seperti ini hanya mendedahkan mereka dengan persepsi negatif masyarakat sehingga sukar mencari jalan pendamaian dan untuk bekerjasama dalam industri.

“Saya bimbang sekiranya banyak lagi kontroversi seperti ini berlaku, akan menyukarkan orang dalam kalangan industri untuk untuk bekerjasama baik dengan kita di masa hadapan.

“Oleh itu, seseorang perlu bersikap profesional dan tidak menampakkan perkara yang tidak matang dalam melakukan sebarang tindakan,” katanya.

Beralih mengenai perkembangan terbarunya, menurut Bade, dia bakal tampil dengan karya filem sejarah yang berjudul Kanang Anak Langkau.

Bade berkata, selepas muncul dengan filem Sindiket dengan isu memperdagangkan manusia, kini dia masih lagi dalam proses menyiapkan filem itu sekali gus ia mengimbas sedikit latar belakang wira negara ini yang berasal daripada komuniti Dayak (Iban).

Menurut Bade, dia telah mengkaji watak tersebut agar tidak tersasar dari fakta sebenar.

“Saya dalam proses menyiapkan filem kisah perjuangan Kanang dan mengkaji watak tersebut dengan baik supaya dapat menghasilkan filem sejarah yang bermutu tinggi,” katanya yang sangat teruja mengarahkan filem berbentuk sejarah perjuangan wira negara itu.

Pengarah berprofil tinggi ini juga berharap agar orang ramai dapat menyoroti sekali gus menghargai perjalanan kisah perjuangan wira negara itu yang berjuang bertempur dengan komunis demi negara.


Sumber

0 comments:

Post a Comment